NEW YORK: New York bandar raya paling terkesan akibat COVID-19 memberi penghormatan bagi memperingati 30,258 orang yang terkorban akibat pandemik itu.
Datuk Bandarnya, Bill de Blasio, turut mengajak penduduk bandar raya berkenaan bertafakur dalam satu majlis yang diadakan secara maya.
“Ramai penduduk New York yang terkorban berbanding Perang Dunia kedua, Perang Vietnam, Taufan Sandy dan kejadian 11 September.
“Setiap keluarga terkesan dan kesakitan yang dialami keluarga ini turut dirasai semua,” katanya.
de Blasio turut memberi penghormatan kepada petugas kesihatan yang disifatkannya sebagai wira biarpun berdepan ancaman akibat wabak itu.
Beliau juga mengajak penduduk New York untuk sentiasa mengingati waktu gembira yang pernah dilalui sebelum penularan pandemik terbabit.
“Walau apa pun yang berlaku, tiada sesiapa boleh meragut kegembiraan anda,” katanya.
Majlis berlangsung secara maya itu dimulakan dengan persembahan ringkas oleh New York Philharmonic di hadapan jambatan ikonik, Jambatan Brooklyn.
Wajah mangsa yang terkorban akibat COVID-19 turut dipancarkan di jambatan berkenaan dalam warna hitam dan putih. – AFP
Sumber: Berita Harian