PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bakal mengumumkan inisiatif bantuan kediaman untuk golongan terkesan pandemik COVID-19, Isnin ini.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata penularan COVID-19 sejak tahun lalu memberi impak besar kepada sektor ekonomi.
Beliau berkata keadaan itu sekali gus memberi kesan kepada sesetengah pihak termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan serta kehilangan kemampuan menampung perbelanjaan harian termasuk membayar sewa rumah.
“Mereka ini kebanyakan adalah golongan penjaja dan peniaga kecil serta penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR). Ada yang bukan saja kehilangan kerja malah hilang kediaman apabila tidak mampu bayar sewa.
“Saya akan maklumkan (seawal) Isnin ini untuk menyediakan tempat bagi mereka yang terkesan,” katanya pada sidang media sulung sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan hari ini.
Sumber: Berita Harian