Paris: Max Verstappen dan Lewis Hamilton perlu menunggu dua bulan lagi untuk mengetahui hasil siasatan dekat Grand Prix Abu Dhabi yang menyaksikan Verstappen meraih gelaran juara dunia 2021.
Badan induk, FIA berkata, keputusan itu tidak akan didedahkan sehingga 18 Mac iaitu dua hari sebelum musim 2022 bermula di Bahrain.
Hamilton berada di landasan tepat untuk mencipta rekod merangkul gelaran juara dunia buat kali kelapan di Abu Dhabi bulan lalu sebelum kereta keselamatan memasuki litar sekali gus membolehkan Verstappen memotong pelumba British itu di pusingan terakhir.
Insiden itu mencetuskan spekulasi bahawa Hamilton, 37, yang berdepan kekecewaan mungkin bersedia untuk kembali beraksi pada musim ini.
FIA berkata, ketua pasukan serta wakil badan induk itu akan bertemu pada 19 Januari bagi membincangkan mengenai penggunaan kereta keselamatan.
Pemandu juga akan dipanggil dalam perbincangan itu.
“Hasil analisis terperinci akan dibentangkan kepada Suruhanjaya F1 pada Februari dan keputusan muktamad akan diumumkan di Majlis Sukan Permotoran Dunia di Bahrain pada 18 Mac,” kata FIA.
Sumber: Harian Metro