KUALA LUMPUR: Keseluruhan Menara TM setinggi 55 tingkat siap dengan tapak helikopter mendarat ditawarkan pada harga RM700 juta dengan lima syarikat yang membuat bidaan sudah disenarai pendek oleh firma Menara ABS Bhd (MAB).
Jualan menara itu merangkumi sebuah bangunan pejabat, sebuah pusat konvensyen, sebuah dewan serba guna, sebuah kompleks sukan, klinik dan tapak tanah yang masih kosong.
Laporan NST Online yang memetik sumber yang mengetahui perkara itu, kelima-lima syarikat itu akan melalui proses usaha wajar (due diligence) dan pemeriksaan latar belakang masing-masing.
‘’Lima syarikat telah disenarai pendek bagi memasuk peringkat kedua, yang akan berlangsung antara April dan Mei. Keputusan dijangka dilaksanakan pada separuh kedua tahun ini,’’ kata sumber tersebut.
Notis yang diterbitkan di dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris semalam menyatakan agen pemasaran eksklusif bagi penjualan Menara TM adalah firma CBRE/WTW dan bangunan itu akan dijual bersama 100% penghuni.
Menara TM yang merupakan satu daripada bangunan ikonik di ibu negara, direka bentuk menyerupai `pucuk buluh tumbuh’ dan paling terkini, digelar oleh golongan milenial sebagai bangunan Avengers, iaitu bangunan di dalam filem Avengers.
Terletak di Jalan Pantai Baharu, ia menghadap Lebuh Raya Persekutuan menjadikan ia satu mercu tanda yang cukup dikenali. Bangunan ini telah direka bentuk oleh Hijjas Kasturi Associates untuk Telekom Malaysia Bhd dan dibina antara 1998 hingga 2001 oleh Deawoo Construction.
Menara ini dibuka secara rasmi oleh perdana menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 11 Februari 2003.
Sebenarnya, sejak tahun 2008 Telekom Malaysia sudah pun menjual Menara TM dan mendudukinya menerusi perjanjian pajakan.
Telekom Malaysia telah memeterai perjanjian bersyarat jual dan beli, serta perjanjian ijarah dengan Menara ABS Bhd pada 2 Januari 2008 untuk menjual Menara TM, Wisma TM Taman Desa, Cyberjaya Complex dan Menara Celcom yang membabitkan penerbitaan sukuk ijarah bernilai RM1 bilion.
Menara ABS Bhd adalah syarikat amanah tujuan khas ditaja oleh Telekom Malaysia bagi memudahcara proses pensekuritian keempat-empat hartanah tersebut menerusi penjualan dan pajak semula atau aturan ijarah.
Di bawah autran ijarah, Telekom Malaysia akan terus menghuni, menyenggara dan menguruskan hartanah-hartanah tersebut di bawah perjanjian pajakan 15 tahun dengan Menara ABS Bhd.
Tahun lalu dilaporkan Menara ABS Bhd berunding dengan Telekom Malaysia untuk membeli balik atau memajak hartanah tertentu di dalam porfolio bagi tujuan pembiayaan semula.
Namun, pandemik COVID-19 dan situasi pasaran pejabat yang lemah mendatangkan kesukaran untuk merunding pembaharuan pajakan dan/ atau pelupusan hartanah tersebut di pasaran terbuka. – DagangNews.com
Sumber: Astro AWANI