fbpx

MH17: Mahkamah umum keputusan pendengaran kes Belanda terhadap Russia malam ini

Prosecutors and the court including chairman Hendrik Steenhuis (3L) prior to the follow-up hearing in the Schiphol Judicial Complex for the follow-up hearing of the extensive criminal trial about the downing of flight MH17 in Badhoevedorp, the Netherlands, 08 December 2021. PHOTO: EPA

ROM: Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) dijangka mengumumkan sama ada akan mendengar pendakwaan terhadap Russia berhubung insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 2014.

Kerajaan Belanda dalam pendakwaannya menyebut bahawa Russia menyalurkan maklumat salah mengenai peranan Moscow dalam kejadian itu dan ia adalah pencabulan hak asasi buat semua waris mangsa terbabit.

Namun Russia menafikan dakwaan tersebut.

Keputusan sama ada pendakwaan kes akan didengar dijangka dibacakan pada jam 2.30 petang waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia).

Pada Julai 2014, pesawat Boeing 777 dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas selepas terkena tembakan peluru berpandu darat-ke-udara ketika konflik memuncak di antara pemberontak pro-Russia dan tentera Ukraine di Wilayah Donbas, Ukraine.

Semua 298 penumpang termasuk anak kapal terbunuh setelah pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Russia yang didakwa dilepaskan oleh kumpulan pemisah Ukraine yang disokong Russia.

Belanda mendakwa Russia terbabit dalam insiden itu dan kes itu bergantung kepada sama ada Moscow mempunyai kawalan ke atas wilayah berkenaan.

Pada ketika ini, ECHR hanya akan memutuskan sama ada kriteria itu dipenuhi. Sekiranya ECHR memutuskan untuk mendengar kes yang dibawa Belanda, keputusan mungkin akan memakan masa bertahun sebelum diumumkan.

Namun, jika ECHR meletakkan keputusan bersalah terhadap Russia, Moscow mungkin diwajibkan membayar ganti rugi kepada waris mangsa terbabit.

Pada November lalu, mahkamah Belanda mendapati tiga lelaki, iaitu dua warga Russia dan seorang warga Ukraine, bersalah atas tuduhan membunuh dalam kes berkenaan.

Mahkamah membuat kesimpulan bahawa peluru berpandu itu dilepaskan dengan sengaja untuk menjatuhkan pesawat walaupun sasaran sebenar adalah milik tentera dan bukannya orang awam.

Ketiga-tiga lelaki itu dijatuhi hukuman penjara seumur hidup, namun kesemua mereka dilapor berada di Russia.

Moscow mengkritik keputusan itu yang didakwanya sebagai bermotif politik dan dilapor tidak akan menyerahkan suspek untuk menjalani hukuman. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts