Alor Setar: Seramai empat individu termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) dan dua wakil perunding persatuan bola sepak di utara ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini, kerana disyaki meminta serta menerima rasuah bernilai lebih RM6 juta.
Perintah itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor selepas permohonan reman dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Alor Setar.
Menurut sumber, empat suspek lelaki berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan antara jam 5 hingga 6.30 petang semalam, ketika hadir di Pejabat SPRM Kedah bagi rakaman keterangan.
“Berdasarkan siasatan dijalankan, wang lebih RM6 juta berkenaan dimasukkan ke dalam akaun sebuah persatuan bola sepak.
“Wang rasuah berkenaan dipercayai sebagai balasan kerana membantu seorang pemilik syarikat mendapatkan tender projek pembinaan litar lumba dan projek mengurus, mengoperasi serta menyelenggara lima loji takungan air di sebuah negeri,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan tangkapan ke atas empat suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 16a(B) Akta SPRM 2009.
Sumber: Harian Metro