Georgetown: Seluruh sekolah di Pulau Pinang dibenarkan menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) berikutan gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 10 Januari ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan memaklumkan pihaknya menerima kelulusan daripada Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung perkara itu.
“Bagaimanapun, pelajar Tingkatan Lima dan penuntut Kolej Pra-Universiti akan menjalani sesi pembelajaran seperti biasa di sekolah memandangkan mereka perlu menghadapi peperiksaan.
“Surat makluman berhubung hebahan kebenaran pembelajaran menerusi PdPR ini akan diedarkan kepada pihak sekolah,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata pihaknya melakukan persediaan dalam menghadapi gangguan bekalan air berjadual itu termasuk mendapatkan bantuan bekalan air dari beberapa negeri.
Sumber: Harian Metro