Kumpulan pro-Palestin, Boycott, Divestment and Sanctions (BDS Malaysia) menggesa pihak polis supaya berhenti mengganggu acara perhimpunannya yang diadakan setiap minggu bagi membantah kezaliman Israel.
“Gangguan ini adalah penyalahgunaan kuasa yang tidak boleh diterima dan serangan langsung terhadap hak asasi untuk berhimpun secara aman,” katanya dalam kenyataan.
Mereka juga menggesa Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mempercepatkan reformasi terhadap Akta Perhimpunan Aman 2012, dengan mengatakan bahawa akta tersebut sudah ketinggalan zaman dan menyekat kebebasan suara rakyat Malaysia.
“Sudah tiba masanya untuk kerajaan menegakkan dan melindungi hak untuk berhimpun secara aman dan bukannya menyekatnya melalui peraturan kuno dan amalan zalim,” katanya.
Kumpulan itu mengadakan perhimpunan “Jalan-Jalan Palestine” pada malam Sabtu di Bukit Bintang, di mana peserta hadir memakai pakaian bertemakan Palestin.
Perhimpunan itu bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang menghadapi serangan Israel sejak Oktober tahun lalu.
Kementerian Kesihatan Gaza mendakwa setakat Selasa lalu seramai 38,713 telah terbunuh di Semenanjung Gaza akibat serangan tentera Israel.
Gambar dan video perhimpunan berkenaan menunjukkan peserta memegang sepanduk dan melaungkan slogan ketika mereka bergerak di sepanjang kaki lima Bukit Bintang.
Dalam kenyataannya malam tadi, BDS Malaysia berkata kumpulan itu mematuhi semua undang-undang yang ditetapkan dengan memaklumkan kepada pihak polis lima hari lebih awal setiap kali perhimpunan diadakan.
Kumpulan itu menegaskan peserta hanya menggunakan hak mereka untuk berhimpun secara aman di bawah Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan tidak melanggar mana-mana undang-undang.
“Walaupun kami mematuhinya, polis telah memanggil para peserta ke balai untuk siasatan, dan secara salah mendakwa perhimpunan kami tiada permit dan penganjur melanggar undang-undang.
“Maklumat salah ini menimbulkan kebimbangan yang tidak perlu di kalangan peserta dan merupakan contoh jelas penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa secara terang-terangan,” katanya.
Mereka menegaskan bahawa permit polis tidak lagi diperlukan untuk mengadakan perhimpunan seumpama itu dan penganjur hanya perlu memberi notis awal kepada polis mengenai acara tersebut.
Sumber: Malaysiakini